Thursday, June 9, 2011

Sayapun anak peneroka- Kena keting

Ana dah kata ana kadang kala main bola dengan orang yang lebih tua. Masa tingkatan 1 badan ana kecil. Waktu petang join main bola. Selalunya orang tak bagi bola pada ana. Jadi, kalau nak bola ana kena rebut dan kejar. Kadang-kadang dapat dan kadang-kadang keluar peluh je. Satu peristiwa yang tak dapat dilupakan, ana rebut bola dari kawan ana, namanya "Di" saja. Badannya besar dan tinggi. Jarak umur dengan ana 7 tahun. Kali pertama rebut ok lagi. Kali kedua ana kejar bola, diapun kejar juga bola. Akhirnya kedua-dua keting berlaga. Dia menjerit aduh. Ana apa lagi. Sakitnya...Ana berhenti main. Ana cuba jalan. Terhincut-hincut. Sampai di kedai Kak Ah, ana duduk. Tak boleh jalan. Sakit sangat. Dalam sakit-sakit, ana jalan juga dan sampai rumah yang tak jauh dari padang, 200 meter je. Ana lihat kaki ana mula bengkak. Mak bapa ana tak marah sebab main bola. Bila dah bengkak lagi tak boleh berdiri. Esok nak sekolah. Macam mana ni? Akhirnya ana terpaksa tak datang sekolah. Tapi bukan sehari, sebaliknya seminggu ana tak datang sekolah. Bila datang sekolah, cikgu tanya kenapa tak datang sekolah. Ana jawab, 'kena keting sebab main bola'.

Kena Keting = bahagian bawah lutut berlaga dengan orang lain. 

Wednesday, June 8, 2011

Sayapun anak peneroka- Liga 20 sen

Semasa ana di sekolah rendah hingga ting 3, ana minat main bola. Kadang-kadang main dengan orang yang lebih dewasa. Kadang-kadang main bersama dengan rakan sebaya. Bola..bola getahje. Kalau sepak perlahanpun pergi laju. Selalunya warna hijau. Sepanjang main bola, ana selalu masuk liga bolasepak. Bukan macam MSSM tuh. Tapi liga 20 sen je. Sesiapa yang nak main, kena bayar 20 sen. Kalau dah cukup 16 orang, akan diundi. Satu team 4 orang. Kadang2 buat round robin. Dua tempat teratas masuk final. Sepanjang liga 20 sen, ana ingat tiga kali jadi johan. Johan saja dapat hadiah, iaitu 80 sen. Lepas tu pekena maggilah di kedai Pak Leman. Kalau team banyak, dapatlah seringgit atau RM1.20. Walaupun dapat 80sen, tapi bangga sebab Johan. 

Akupun anak peneroka- Sistem piramid?

Sebenarnya ana baru balik dari kampung ana di Felda Lasah. Cuti sekolah. Pada 8 Jun 2011, lepas solat Isyak di masjid, ana beli sardin besar cap ayam, harganya RM6.00. Harganya adalah harga yang paling mahal pernah ana beli sardin cap ayam termasuklah di Bukit Beruntung. Kasihan orang kampung ana. Itu baru sardin. Yang lain ana tak tahu. Tetapi menurut kawan ana, harga di Felda memang mahal, sebab kos penghantaran jauh. Maklumlah kampung ana ni, 18 km dari pekan sungai siput. Pedalaman sikit.

Selepas beli sardin, ana kena sekat di kedai tersebut. Anak pekedai yang perempuan suruh tunggu sekejap. Dia kata nak promosi mee rebus. Memang ana nampak ada banyak mee rebus atas meja. Ana percaya. Tapi ana serba salah. Ana macam nak balik cepat nak suruh isteri ana masak sardin. Ana kemudian nampak kawan ana. Ana pun akhirnya tunggu dan berbual dengan kawan ana.

Bila dikedai tu dah ramai orang datang, seorang lelaki mengambil tempat dan menunjukkan beberapa slaid. Rupanya barulah ana faham mengapa ana kena tahan tak boleh balik. Sebab orang lelaki tu nak promosi program perniagaan yang boleh menguntungkan. Orang tu kata, kalau kita bayar bil di pejabat pos, kita tak dapat apa-apa komisen. Yang dapat komisen adalah pejabat pos. Tapi melalui sistem yang dibuat oleh syarikat orang lelaki itu, bila bayar bil kelak, orang yang bayar bil akan dapat komisen seperti pejabat pos. Tapi mesti mendaftarkan dengan syarikat orang lelaki itu. Kena bayar bawah RM100. Dan lagi, mesti ada downline seramai 10 orang. Sistem sebegini dah biasa wujud dan ada yang lingkup dan ditamatkan. Tapi untuk syarikat tu ana tak tahu bagaimana kesudahannya. Ana memang tak minat benda-benda macam tu. Dapat makan mee rebuspun jadilah. Sekarang ni, orang Felda pun telah didedahkan dengan cara untuk tambah pendapatan. Itu satu cara. Kalau nak masuk, masuklah. Tapi ana tak minat. Bila sebut downline, tentu ada unsur sistem piramid. Walaupun pelaburannya sikit, Orang kampungku, hati-hati...sebab jiwa orang kampung kalau terkena RM100, macam seribu..banyaktu... 

Wednesday, June 1, 2011

Pengorbanan ibu- Kisah benar

Ana ingin berkongsi pengalaman tentang pengorbanan seorang ibu. Ana sengajakan postkan di sini. Sepatutnya ana tulis diruangan pages (Akupun anak peneroka). Pada mulanya ibu ni pernah berkahwin dan cerai mati (balu). Kemudian berkahwin kali kedua dan menetap di tanah rancangan bersama suaminya yang baru. Ibu ini telah mempunyai seorang anak. Suami yg baru mempunyai ramai anak. Ada yang dah besar dan bekerja dan ada juga yang masih kecil dan perlu dijaga oleh ibu ini (ibu tiri). Kehidupan di tanah rancangan macam biasalah, kalau tak kerja tak makan lah jawabnya. Jadi kehidupan suami isterinya sama macam peneroka yang lain sehinggalah melahirkan beberapa orang anak. Anak tiri yang dijaga tadi telahpun besar dan berkahwin serta telah berpindah menetap di kawasan lain. Tidak lama kemudian, suaminya mendapat kemalangan dan meninggal dunia. Maka kini tinggallah ibu ini dengan dua kali menjanda. Tinggal di rumah pusaka suami dan anak-anaknya.

Kehidupan perlu diteruskan. Ibu ini terpaksa mencari rezeki untuk anak-anaknya. Menoreh getah dan menjual pucuk-pucuk hutan. Anak tirinya yang dah besar dan ada pendapatan lain sekali sekala ziarah. Hampir beberapa tahun menjanda, ibu ini akhirnya dilamar sekali lagi oleh seorang lelaki yang juga telah kematian isteri. Mereka berkahwin. Perkahwinan ketiga bagi ibu ini dan kedua bagi suaminya yang baru. Pada peringkat awal, suami tinggal di rumah isteri dan akhirnya mendapat seorang cahaya mata. Entah macam mana, suami ingin tinggal di rumahnya sendiri yang tak jauh dari situ. Bila dah suami tinggal di rumahnya, isteri kena ikut. Bila dah ikut, rumah peninggalan suami yang telah meninggal kena tengok dan bersihkan. Rupa-rupanya, apabila isteri ikut tinggal di rumah suami baru, anak-anak suaminya macam tidak menerima kehadiran ibu tiri. Kelamaannya, ibu ini terpaksa kembali ke rumah tinggalan suaminya dan suaminya yang baru akan berulang-alik untuk jemput pergi menoreh getah dan hantar balik. Kadang-kadang semalam dua, si suami akan tidur di situ.

Ditakdirkan Allah, suaminya yang baru itu pula telah meninggal dunia. Sekali lagi ibu ini menjadi balu untuk kali ketiga. Si ibu terus menetap dirumah peninggalan suami kedua tadi tanpa ada masalah. Entah macam mana satu masalah baru timbul apabila anak suami kedua yang pernah dijaga waktu kecil ingin pulang ke kampung halaman dan menetap di rumah itu. Anak tirinya itu juga telah bercerai hidup. Anak tirinya itu inginkan rumah itu. Si ibu dalam kebingungan. Sekiranya rumah itu diserahkan, si ibu terpaksa mencari rumah lain. Jika tidak diserahkan, anak tiri akan memaksa supaya si ibu pindah. Untuk tinggal bersama, tidak ada dalam kamus perbincangan.

Si ibu dalam dilema...Walaupun dia adalah seorang ibu tiri, dan pernah menjaga, si ibu perlu buat keputusan...Akhirnya si ibu meninggalkan rumah itu dan kembali sehelai sepinggang ke kampung halamannya yang asal. Buat masa ini ana tak tahu kisah selanjutnya.

Sebagai seorang insan mengapakah seorang ibu tiri sanggup diperlakukan sedemikian oleh anak-anak tirinya?

Tuesday, May 31, 2011

Sambutan Hari Guru

Pada 29 Mei 2011, sekolah ana mengadakan sambutan Hari Guru. Sebuah aktiviti pelajar yang buat. Dari aktiviti sukan indoor dan outdoor, persiapan dewan, aktiviti persembahan pelajar dan mencadangkan persembahan guru. Semua aktiviti yang dicadangkan ana tidak ada masalah untuk menerima tapi bila aktiviti persembahan guru yang dicadangkan ana bantah. Pada asalnya tak terbabit dalam persembahan itu, tapi bila ada rakan ana yang memberitahu persembahan guru yang dicadangkan ana tak sokong sebab persembahan itu menjatuhkan maruah guru. Guru mengurat pelajar dan ajak pelajar dating, tak menjatuhkan maruah guruke? Dari situ, ana mula berfikir dan mencadangkan kalau nak buat persembahan, buatlah persembahan yang menaikkan imej guru dan memberi kesan kepada pelajar. Ana mencadangkan ambil beberapa peristiwa tentang kesalahan pelajar dan dilakonkan. Dari lakonan itu, kesalahan pelajar diperbetulkan oleh guru atau ustaz dan akhirnya melalui teguran pelajar membetulkan kesilapan dan beri kejayaan kepada dirinya dan menaikkan nama sekolah. Semua pelakon adalah guru sama ada watak guru atau pelajar. Dan akhirnya apa yang berlaku ialah ana telah disuruh jadi pengarah...haaa..maknanya ana akan terlibat secara langsung dalam lakonan itu walaupun asalnya ana tak terlibat..Tapi ok sebenarnya sebab ana pun lama dah tak mengarah. Sebab semasa di maktab dulu pernah juga beri cadangan untuk persembahan secara kecil-kecilan. Just for fun..

Jadi ana telah pilih empat cerita biasa berlaku di asrama iaitu jawapan kelakar, suka tidur, cinta monyet dan fly. Semua cikgu yang jadi pelakon beri respon baik. Tak sangka pulak semua ok. Ana tak berlakon. Ana sebagai narrator. Baca dalam bentuk deklamasi sajak. Sajak ana buat. Sebab ana minat seni sastera. Semua lakonan menjadi. Suasana sedih, happening, kelakar dan semua spontan. Ingatkan 10 atau 15 minit, rupanya sampai 40 minit. Semua audience tumpu perhatian. Tak boring. Walaupun tak buat latihan, tapi semua cikgu hebat. Bila diakhir, tak sangka pelajar buat standing count. Seorang ustaz yang dah jadi penyanyi lagu nasyidpun, ucap pada ana..'tahniah, aku terhibur'.

Monday, May 16, 2011

Hari Guru

Hari ini dah berlalu satu hari, hari guru. Di sekolah, hari guru tidak disambut pada hari tersebut. Lagipun hari tu periksa pertengahan tahun. Suasana menyambut di sekolah menengah dan rendah amat berbeza. Hari 16 Mei adalah hari paling meriah. Di sekolah menengah tempat bekerja berbeza sekali suasana. Hari Guru akan disambut selepas 2 minggu. Itupun pelajar yang uruskan semua. Dewan semuanya disiapkan dengan cukup menarik. Kalau ada guru nak masuk dalam dewan, pelajar tak benarkan. Takut semua rahsia terbongkar. Acara sukanpun kena paksa masuk. Kalau nak buat sukan kena buat yang mudah. Yelah, di sekolah banyak ustaz dan ustazah. Tak boleh lebih-lebih. Suasana dalam dewan sebenarnya lebih menghibakan. Air mata seorang guru mudah mengalir apabila pelajar tiba-tiba membuat persembahan yang telah mereka atur. Semuanya membawa tema kepada pengorbanan guru. Ana memang seorang yang mudah mengalirkan air mata kalau perjuangan seorang guru dipersembahkan. Tapi tak semua yang sebegitu.

            Bagi ana, guru ada tiga tahap. Tahap pertama guru yang dilahirkan guru. Minat mendalam. Mohon banyak kali nak jadi guru. Apa saja yang diamanahkan seorang guru akan buat dengan penuh ikhlas. Masa lebih kepada perkhidmatan guru. Cepat. tangkas walaupun dah berusia. Dari mula mendidik hinggalah ke pencen tiada rasa jemu untuk berbakti kepada anak bangsa. Guru Tahap kedua adalah guru yang dijadikan guru. Ditanamkan minat melalui kursus perguruan. Asal mungkin tak minat. Boleh jadi guru yang baik dan sanggup belajar, mendidik anak bangsa. Tahap ketiga ialah guru yang bukan guru. Semuanya tidak kena. Menjadikan profesion guru sebagai batu loncatan untuk mendapat kerja. Mungkin buat aktiviti luar lebih masa berbanding masa guru. Atau sanggup cuti sakit, ponteng dan kualitI  kerja yang teruk. Sukar ditegur, latihan dan buku tidak ditanda. Banyak masalah yang berlaku walaupun dah tukar sekolah beberapa kali.

             Bagi Ana, seseorang yang menjadi guru sehingga satu ketika akan melahirkan rasa enak, lazat dan sedap bila bekerja. Kalau tak makan lapar. Kalau tak buat kerja guru rasa tak cukup sifat. Macam orang yang belum sembahyang akan rasa ada sesuatu yang tak kena sehinggalah dia sembahyang. Begitulah tahap sesetengah guru, terasa kelazatan yang amat sangat menjadi guru. Apa orang nak kata, katalah, kerana ana tahu apakah kelazatannya menjadi seorang guru. Kerana ana adalah guru dengan panggilan keramat CIKGU.

Sunday, May 15, 2011

Aku Masih Bergelar Guru

Ketika ini aku masih bergelar guru. Terus berjuang untuk anak-anak bangsa. Sesekali timbul rasa jemu, ku lontarkan perasaan itu jauh-jauh. Menjadi guru kini, tidak hanya waktu pagi hingga tengah hari. Walaupun waktu dah boleh pulang untuk menemui anak dan isteri tercinta, tetapi guru kini terus betapa di bilik guru menyiapkan kerja-kerja yang seringkali bertimbun. Dari tugas utama mengajar, menanda buku, membuat persediaan, menyiapkan file pengurusan dan sebagainya adalah menu harian seorang guru kini. Gaji yang diterima tidak menjanjikan seorang guru mewah tetapi demi anak bangsa dan redho Allah mengukuhkan rasa cinta untuk menjadi seorang guru. Kini aku masih bergelar guru dengan harapan terus berbakti untuk memberikan sekelumit ilmu pada anak bangsa, biarpun anak bangsa kelak akan menjadi lebih berharga daripada seorang yang masih bergelar guru. Kerana aku adalah seorang guru. SELAMAT HARI GURU. HORMATILAH GURU MU.

Aku Masih Bergelar Guru